Susah Chelsea nak kekal Hazard – Sarri

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui sukar untuk menghalang Eden Hazard daripada berpindah ke Real Madrid musim panas ini sambil menyifatkan nilai £100 juta (RM535.56 juta) sebagai ‘amat murah’ untuk kapten Belgium itu.

Hazard tampil dengan aksi mengagumkan ketika membantu Blues mendaki ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas meledak kedua-dua gol kemenangan 2-0 menewaskan West Ham, awal pagi tadi.

Chelsea berkemungkinan besar terpaksa menjual Hazard bagi mengelak kerugian melepaskannya secara percuma selepas kontraknya berakhir pada 2020 selepas dia enggan menandatangani lanjutan kontrak di Stamford Bridge.

PENGENDALI Chelsea, Maurizio Sarri (kanan). – Foto EPA

“Nilai £100 juta (RM535.56 juta) adalah terlalu murah dalam pasaran ketika ini! Saya rasa kami sudah melihatnya dalam beberapa perpindahan sebelum ini,” kata Sarri. 

“Saya yakin kelab tidak mahu menjualnya, tetapi sudah tentu kami semua perlu menghormati keputusannya. Dia berada dalam musim terakhir kontraknya, jika dia mahu pengalaman yang berbeza, kami perlu menghormatinya. Tetapi kami dengan apa juga cara mahu meyakinkannya, tetapi ia tidak mudah.”

Prospek kehilangan Hazard lebih menyakitkan buat Chelsea selepas kelab itu ketika ini tidak dibenarkan daripada membeli pemain baharu susulan penggantungan perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Dari sudut teknikal, tidak, tidak ketika ini,” kata Sarri mengulas sama ada Chelsea boleh menampung ketiadaan Hazard. “Selain itu, adalah mustahil untuk mencari seorang lagi Hazard. Ketika ini tiada lagi seperti Hazard, kerana kualitinya begitu tinggi.”

Kemenangan menyaksikan Chelsea merampas kedudukan ketiga liga daripada Tottenham dan kini dibezakan dua mata berbanding Spurs dan tiga mata di atas Arsenal tetapi bermain lebih satu perlawanan.

 

Sumber: AFP via BH

Hantar Komen